Followers

Friday, December 30, 2011

Perlu ke Azam Baru?? Menanti kedatangan 2012.....

Ramai di antara kita akan mengambil sehelai kertas dan pen. Ataupun membuka komputer lalu menekur di depannya. Menanti ilham mengenai apa azam baru yang hendak dilaksanakan bagi tahun 2012 nanti. 

Termenung bagai seorang penulis yang hendak melakar episod novelnya.

Mungkin pada tahun 2012, kita hendak menurunkan berat badan, menyimpan duit, belajar bahasa Jepun, berhenti merokok ataupun mula membuka kedai runcit. Apa jua yang terlintas di fikiran akan dicatat. Untuk memperoleh idea dengan bergaya, ada di antara kita tercari-cari idea-idea resolusi tahun baru melalui laman-laman orang lain di internet.

Seolah-olah menulis resolusi tahun baru yang kemudiannya dijadikan azam tahun baru itu boleh direka-reka begitu-begitu sahaja. Sama ada resolusi yang dicatat itu 3, 5 mahu pun 10 resolusi, azam baru yang dirangka sebegitu, biasanya tak akan tahan lama.

Ini adalah kerana, resolusi melalui cara itu, maaf cakap, tidak akan makbul! Tidak makbul kerana kita mencipta azam baru. Bukannya memperoleh inspirasi azam baru melalui apa yang kita lalui. Atau memperoleh idea untuk memenuhi apa yang kurang di dalam diri. Kalau usul, atau sebab musabab tercetusnya azam baru itu dipetik melalui laman web ataupun melalui khayalan, ia tidak akan menjadi.

Akibatnya, apabila bangkit daripada tidur pada minggu kedua Januari, apa yang dihasratkan sebagai azam tahun baru akan hilang seronoknya. Sebabnya, tahun baru mula menjadi lama. Bila semangat tahun baru sudah pudar, azam yang bersandarkan tahun baru akan jadi hambar dan dilupakan. Lihatlah di sekeliling, termasuk kepada diri sendiri; apakah azam tahun 2011 telah kita capai sepenuhnya? Jika tak tergapai, tentu ada silap formula menghasilkannya.

Sebenarnya, kita kini terlalu terikut-ikut dengan fikiran untuk memandang ke hadapan. Dalam ertikata yang lain ialah menjadi seseorang yang berwawasan. Menjadi seseorang yang mempunyai visi sememangnya bagus, tetapi berfikiran yang begitu sahaja sebenarnya tidak bagus. Ia tak lengkap.

Yang melengkapi fikiran berwawasan ialah berfikiran yang turut memandang ke belakang, iaitu mengamalkan reflective thinking ataupun bertadabbur. Memandang ke hadapan semata-mata tanpa menoleh ke belakang akan mengakibatkan kita akan mengulangi kesilapan yang kita lakukan sebelum ini.

Kesilapan akan menjadi kesalahan bila kita mengulanginya buat kali kedua. Bila kita tidak belajar daripada pengalaman, ertinya kita menolak sejarah diri. Sedangkan memandang ke belakang itu umpama kembali ke pangkal jalan. Atau merentas semula ke jalan kenangan untuk mengutip apa yang tertinggal untuk dibawa bersama dalam meniti hari esok.

Yang menyempurnakan fikiran berwawasan dan bertaddabur ialah contemplative thinking atau bermuhasabah. Bermuhasabah atau merenung ke dalam diri itu akan menginsafkan kerana kita berhubung dengan suara hati. Suara hati itulah yang lebih jujur dan tulus terhadap diri.

Bila ada fikiran yang berwawasan iaitu memandang ke hadapan, bertaddabur atau memandang ke belakang dan bermuhasabah atau memandang ke dalam, maka baharulah apa jua azam dan nawaitu dapat dihasilkan dengan berkesan. Justeru itu, memandang ke hadapan, belakang dan juga ke dalam akan menjadikan sesebuah azam baru itu digenggam dengan penuh istiqamah.

Dan sesebuah azam yang ingin dilaksanakan itu mesti lahir daripada kesedaran dan keinsafan untuk memperbaiki diri. Bukan dilakukan kerana apa-apa ‘sempena’, lebih-lebih lagi sempena tahun baru. Ini adalah kerana azam yang bersandarkan ‘sempena’ itu akan mudah rebah dan pudar ditelan waktu.

Misalnya, azam untuk berhenti merokok dilakukan kerana doktor menasihatkan kita berhenti merokok kerana dikhuatiri mengalami radang paru-paru. Azam belajar bersungguh-sungguh diniatkan kerana takut gagal dan menanggung malu. Atau azam untuk belajar memandu dihasratkan kerana kita ingin membeli kereta tidak lama lagi.

Tidak perlu berazam sempena tahun baru melainkan kerana kita benar-benar ingin melakukannya untuk kebaikan diri sendiri. Justeru itu, mulai tahun 2012, berazamlah untuk tidak berazam tahun baru lagi. Sebaliknya berazamlah kerana kita benar-benar berkeinginan untuk mencapai sesuatu yang diinginkan.

Dengan cara itu, kita boleh sahaja berazam pada bila-bila masa. Azam yang dirancang itu pula boleh dilakukan satu demi satu dan tidak panjang senarainya seperti yang dilakukan oleh berjuta-juta manusia lain di muka bumi ini.

p/s : Last update blog for 2011...say bye to 2011 and say hye for 2012....

No comments: